PAPAR: Tugas memerangi rasuah bukan hanya tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),semata-mata tetapi semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk memeranginya,.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata jika usaha ini dipergiat dan dilakukan secara bersama-sama, tidak mustahil kes rasuah akan berkurangan dan Malaysia boleh bebas dari rasuah.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Kursus KIAR bersama Pengarah JPSM Negeri Sabah, Dg. Norsiah Pg. Duraman.
Ia bersempena lawatan kerja dan pemantauan di Kampus Institut Latihan Teknik Dan Perdagangan (ILTP) Papar di sini, semalam.
Norazlan turut dibawa melawat ke kelas KIAR Yang sedang berlangsung dan berpeluang menyampaikan kata-kata semangat kepada 50 pelajar mengenai halatuju program dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada kemajuan negara yang bersih dari rasuah.
Dalam pada itu, beliau berkata SPRM menghargai usaha jurulatih Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah atas usaha melaksanakan KIAR Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat Institut Latihan Teknik Dan Perdagangan.
“KIAR JPSM Negeri Sabah adalah program pertama dalam usaha menyebarluas mesej antirasuah kepada pelajar aliran TVET sejak diperkenalkan pada 9 Julai 2021.
“Ia juga menjadi penanda aras kepada usaha yang sama melibatkan institusi TVET lain di bawah Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” ujarnya.
Norazlan berkata maklumbalas daripada jurulatih dan pelajar seperti mana dibentangkan adalah sangat baik.
Katanya SPRM mengambil maklum cadangan menambahbaik modul dan kaedah pengajaran agar subjek yang dikongsi boleh memberi nilai tambah bukan sahaja bagi tujuan akademik, malah sebagai asas kepada permulaan kerjaya atau menjalankan perniagaan kelak,” tambahnya.
Turut serta dalam lawatan adalah Timbalan Pengarah SPRM Negeri Sabah Alexander S.Kunghi dan Ketua Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Mohd Nur Lokman Samingan.
end