Tradisi Rumah Terbuka Selari Konsep Malaysia Madani – Suhaimi

SANDAKAN: Konsep Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri merupakan satu landasan untuk mengukuhkan ikatan muhibah, persefahaman, toleransi serta sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Suhaimi bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir di Majlis Rumah Terbukanya di sini hari ini. Gambar Yusof Teppo/SNT.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata, konsep rumah terbuka sangat unik dalam usaha membantu masyarakat mencapai konsep Malaysia Madani dengan mengamalkan kepercayaan amalan agama serta kebudayaan masing-masing.

Katanya, amalan rumah terbuka menjadi satu wadah untuk memupuk persefahaman, keharmonian serta mewujudkan perasaan saling menghormati antara sesama rakyat berbilang kaum tanpa mengira ideologi politik.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Suhaimi Nasir di sini hari ini. Gambar Yusof Teppo / SNT.

“Konsep rumah rumah terbuka ini akan lebih bererti sekiranya kita bukan hanya membuka rumah tetapi turut membuka hati kita selain bermaaf-maafan diantara satu sama lain.

“Jika kita membuka rumah dengan menerima tetamu tanpa mengira siapa, kaum dan agama, ia akan menjadi wadah yang bermakna untuk memupuk perpaduan.

“Apa yang penting, hari raya menjadi signifikan bukan kerana pelbagai hidangan yang dijamu, tetapi ia memberi kesempatan untuk kita bertemu dan bersalaman bagi memperbaharui hubungan bersama kenalan lama dan menjalinkan persahabatan dengan yang baharu.

Suhaimi melayan tetamu yang hadir di Majlis Rumah Terbukanya di sini hari ini. Gambar Yusof Teppo/SNT.

“Peluang berinteraksi ketika perayaan ini dapat membantu mengukuhkan persahabatan dan persefahaman antara pelbagai kaum yang berkunjung ke rumah terbuka ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2023 di Kediamannya di Adelia House Taman Sejati Ujana Fasa Dua di sini hari ini.

Suhaimi merupakan Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, pertemuan mesra akan memberi sumbangan sangat bermakna kepada keharmonian kepelbagaian kaum berbilang bangsa, agama dan budaya di negeri ini.

Ia sekali gus akan membantu merangsang aspek positif masyarakat berbilang bangsa di Malaysia selain mengukuhkan perpaduan negara diantara satu sama lain.

Lebih 5,000 masyarakat hadir di Majlis Rumah Terbukanya, termasuk hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat Datuk Frankie Poon.

Selain itu, ADUN Elopura Calvin Chong, ADUN Sungai Manila Moktar Ingkat, Naib Ketua UMNO Libaran Datuk Salzo Asa, Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Sungai Sibuga Datuk Amirshah Yakob, Pegawai Pembangunan Masyarakat Karamunting Datuk Chew Kok Who.