Tokoh Sabah Jismith Japong Sertai Parti ANAK NEGERI — Terus Dilantik Pengarah Pilihan Raya

KOTA KINABALU – Parti Kerjasama Anak Negeri (ANAK NEGERI) menerima suntikan baharu apabila tokoh politik berpengalaman, Datuk Jismith Japong, menyertai parti itu dan serta-merta dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya parti yang baharu.

Jismith, yang sebelum ini dikaitkan dengan Parti Gemilang Anak Sabah (GAS), menyerahkan borang keahliannya secara rasmi kepada Presiden Parti ANAK NEGERI, Datuk Henrynus Amin, dalam satu mesyuarat yang diadakan di Holiday Inn Express, Kota Kinabalu.

Beliau hadir bersama kira-kira 40 penyokong teras dan mengumumkan bahawa kumpulannya, Gemilang Sabah, akan menyertai Parti ANAK NEGERI secara beramai-ramai, sekali gus memperkukuh sokongan akar umbi parti itu di seluruh negeri.

Henrynus menyifatkan kemasukan Jismith sebagai satu peristiwa penting dalam perjalanan parti, selain membawa pengalaman, sumber, dan tenaga baharu yang dapat memperkukuh organisasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Keputusan Jismith membawa nilai besar. Beliau bukan sahaja menyumbang ahli dan calon berpotensi, tetapi juga sumber serta rangkaian yang luas untuk menggerakkan misi parti,” katanya.

Henrynus berkata, sebagai Pengarah Pilihan Raya baharu, Jismith akan bertanggungjawab terhadap semua persiapan pilihan raya dan penggerak jentera ANAK NEGERI di seluruh Sabah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan semula komitmen parti untuk bertanding di sekurang-kurangnya 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan senarai calon menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman dan belia dinamik, serta 30 peratus calon wanita.

Henrynus turut menekankan lima agenda utama parti iaitu memperjuangkan hak rakyat Sabah, menuntut hak kewangan negeri, memastikan keselamatan dan kedaulatan, membangunkan ekonomi, serta memelihara keharmonian agama. Manifesto penuh akan diumumkan pada 26 Oktober ini di Ranau.