Tingkatkan tahap keceriaan landskap di kawasan taman perumahaan di Tawau – Nizam

TAWAU : Majlis Perbandaran Tawau (MPT) disarankan untuk meningkatkan kerjasama dengan pihak pemaju khususnya dalam usaha meningkatkan tahap keceriaan kawasan landskap di sekitar taman perumahan di bandar ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setiap landskap di kawasan taman perumahan bandar perlu diselenggara dengan baik agar sentiasa kelihatan indah serta dapat meningkatkan imej dalam kalangan pengunjung.

Katanya, setiap pelancong luar sudah tentu akan menilai sejauh mana tahap kebersihan serta keindahaan landskap khususnya di kawasan Tawau.

“Kita mencadangkan agar pihak MPT dapat mengadakan aktiviti gotong-royong setiap dua bulan sekali untuk membersihkan kawasan persekitaran perumahan bersama penduduk dan masyarakat di daerah ini.

“Ia bagi memberi kesedaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran bandar Tawau supaya sentiasa membudayakan amalan kebersihan dan mencantikkan kawasan persekitaran mereka,” katanya di sini semalam.

Ketika mengulas mengenai runggutan penduduk di PPR Taman Sri Titingan, Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas  berkata, penduduk boleh menyalurkan maklumat serta menjalin kerjasama dengan pasukan keselamatan.

“Kita mahu memastikan penduduk di taman perumahan ini bebas daripada sebarang masalah jenayah sekali gus menjadi kawasan yang selamat dan aman.

“Ini membuktikan perpaduan penduduk di sini sangat kuat dan boleh bersatu melaksanakan program secara bersama,” jelas Nizam.

Menurutnya, beliau berharap agar penduduk di taman perumahan ini sentiasa menyokong agenda serta program dianjurkan kerajaan bagi memastikan Sabah berada dalam keadaan stabil.