KOTA KINABALU: Tindakan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) meminta penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) menyewa lebih 10 tahun agar mengosongkan rumah merupakan tindakan tergesa-gesa dan tidak berperikemanusiaan.
Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Noor Mohmed berkata, ini kerana rakyat ketika ini berdepan dengan kegawatan ekonomi terutama golongan B40 untuk mencari penempatan baru atau menyewa rumah yang pastinya kadar sewaannya terlalu tinggi dam tidak termampu mereka bayar.
Katanya, alasan LPPB menerima teguran dari Jabatan Audit Negara kerana penyewa melebihi 10 tahun tidak rasional berdasarkan Enakmen Housing and Town Development 1981, perkara 37 secara jelas menyatakan mereka hanya untuk mengaudit akaun lembaga tersebut.
Katanya, tidak ada sebarang kuasa diberikan kepada jabatan Audit negara untuk menentukkan polisi yang harus dipatuhi LPPB.
“Kenapa LPPB harus akur dengan teguran tersebut sedangkan kuasa sebenar adalah dibawah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah.
“Sekiranya pun itu sebagai satu peraturan, kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan kepada Jabatan Audit dan membela penyewa penyewa PPR yang majoritinya golongan B40,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jeffery berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan Sabah masih memerlukan projek perumahan PPR memandangkan keperluan khususnya kepada golongan B40 begitu tinggi.
Dalam masa sama kerajaan negeri tidak berkemampuan untuk membina lebih banyak PPR untuk keperluan rakyat khususnya untuk golongan yang berpendapatan rendah.
“Seharusnya bukan mengusir mereka yang tinggal di PPR melebihi 10 tahun yang taat membayar sewa setiap bulan.
“Perkara yang harus kerajaan negeri pertimbangkan ialah membantu golongan ini, agar rumah PPR yang mereka duduki ketika ini boleh dibeli (Sewa dan Beli) dan ini sudah tentu dapat membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri sebagaimana yang sudah dilaksanakan di beberapa buah projek PPR di Kuala Lumpur,” katanya.
Jeffery berkata, jika pengerusi LPPB Datuk Masiung Banah pernah mencadangkan di sidang DUN Sabah baru-baru ini berhubung dengan ketidak stabilan sistem bekalan air dan elektrik di Sabah agar rumah pemimpin turut dicatuh bagi merasai keperitan rakyat biasa.
“Tindakan mereka mengusir penyewa PPR adalah lebih perit dari cadangan tersebut.
“Langkah meminta penyewa PPR melebihi 10 tahun untuk mengosongkan kediaman mereka adalah langkah ke belakang dan ini menyebabkan kawasan setinggan akan tumbuh seperti cendawan di sekitar ibu kota.
“Ini kerana penyewa sudah tentu tidak mampu menyewa rumah apa lagi membeli rumah kediaman baru memandangkan mereka tidak berkemampuan,” katanya.
Jeffrey berkata, slogan Sabah Maju Jaya seharusnya seiring dengan kemajuan dari segi kemudahan asas yang boleh dikecapi oleh rakyat dan sudah tentu kerajaan negeri dibawah kepimpinan Ketua Menteri.
“Beliau (Hajiji) perlu melihat isu kemanusian ini sebagai keutamaan untuk dibela kerana kebanyakan penyewa adalahpenduduk tempatan selaras dengan konsep PGRS parti tempatan yang memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Sabah” katanya.
Sehubungan itu, menurut Jeffery UMNO bahagian Putatan membantah sekeras-kerasnya tindakan itu dan meminta Ketua Menteri campur tangan untuk menangani isu tersebut.
Kegagalan untuk mengikuti falsafah ini hanya menunjukkan tindakan kurang bijak kerajaan sedia ada untuk memastikan kebajikan rakyat Sabah sentiasa terpelihara, katanya.