Tiga Lelaki Miliki Dadah Jenis Syabu Ditahan

TAWAU : Tiga lelaki disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah jenis syabu ditahan dalam satu operasi bersepadu menerusi Op Tapis, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, dua lelaki terbabit berada dalam keadaan mencurigakan ditahan anggota polis yang bertugas.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, pihak polis menemui terhadap dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.38 gram dan 0.18 gram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, dalam serbuan di lokasi berasingan, seorang lagi lelaki turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek ketiga membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.13 gram,” jelas Jasmin.

Menurutnya, kesemua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.