KOTA KINABALU: Cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit adalah disifatkan tidak menghormati serta menyinggung perasaan rakyat di negeri ini.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin, berkata Tok Mat sepatutnya menggesa agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) merealisasikan hak serta tuntutan negeri Sabah seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, MA63 harus ditunaikan dengan apa cara sekalipun berikutan ia adalah asas kepada titik permulaan kejayaan namun sehingga hari ini tidak pernah direalisasikan mereka.
“Rakyat Sabah sangat terkejut dengan kenyataan yang sungguh berani ini kononnya mencadangkan agar MA63 perlu diperbaharui demi untuk mengembalikan semula hak serta keistimewaan negeri Sabah.
“Perlu dingat…..MA63 adalah satu perjanjian yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dengan United Kingdom.
“Tok Mat harus tahu bahawa MA63 mesti dihormati manakala segala isi kandungan perjanjian ini wajib dilaksanakan mengikut persetujuan dalam dokumen berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau mengulas kenyataan media Timbalan Presiden BN dalam program Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah 2022 yang berlangsung di Penampang Sabtu lalu.
Menurutnya, kenyataan Tok Mat itu terlalu angkuh berikutan UMNO – BN tidak berani memohon maaf apabila terdapat perlanggaran perjanjian MA63 selama ini.
“Namun mereka ingin cuba menyembunyikan kesalahan dengan memperbaharui perjanjian tersebut.
“Isu MA63 ini sudah terlalu lama…..Pelbagai alasan yang tidak munasabah sama sekali digunakan mereka untuk mengelak melaksanakan perjanjian ini.
“Saya tidak nampak keperluan untuk memperbaharui perjanjian tersebut sedangkan sebelum ini pun mereka tidak telus dalam melaksanakannya, apatah lagi sekarang mencadangkan untuk memperbaharuinya,” katanya.
Azhar berkata, seluruh pucuk kepimpinan Parti Warisan selaku parti memperjuangkan hak-hak Sabah membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk memperbaharui MA63 ini.
“Perjanjian Malaysia 1963 ini hanyalah satu sandiwara dan alasan untuk mereka tidak mahu melaksanakan intipati perjanjian asal.
“Ini digunakan hanya sekadar ‘gula-gula’ politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15) dijangka berlaku tidak lama lagi,” katanya.
Azhar menasihatkan Tok Mat selaku Timbalan Presiden UMNO menyelesaikan terlebih dahulu masalah Perhimpunan Agung Tahunan UMNO yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini sebelum mencadangkan sesuatu yang disifatkan tidak masuk akal.