KOTA KINABALU: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah lebih RM2.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 2020 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak Datin Nurlaila Said menyerahkan pembayaran zakat itu kepada Timbalan Pengerusi MUIS Malai Ali Malai Ahmad, disaksikan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dalam satu majlis ringkas di Menara Kinabalu, di sini.
Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.
“Saban tahun TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai sebuah organisasi Islam prihatin, dengan harapan untuk memperkasa kewangan Islam dan pembangunan sosioekonomi ummah bagi manfaat golongan asnaf di Sabah,” katanya.
Sementara itu, dalam taklimat ringkas beliau kepada Hajiji, Nurlaila berkata TH telah menyerahkan sumbangan van menerusi Program Mobiliti yang julung kali diadakan di Sabah.
Sepanjang 2020, TH terus memperkasakan lagi aspek kebertanggungjawabannya dengan pelaksanaan pelbagai program zakat bersasar, khususnya kepada golongan memerlukan melalui pengagihan bagi tujuan pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan,” katanya.
— BERNAMA