TAWAU : Mahkamah Majistret Tawau mengenakan RM15,000 kepada Syarikat The Reef Dive Resort & Tours Sdn. Bhd selepas mengaku bersalah menggunakan sebuah bot tidak dilesenkan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah untuk mengangkut pelancong.
Majistret Don Stiwin Malanjum berkata, syarikat pelancongan terbabit melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
Katanya, pemilik syarikat berkenaan boleh dihukum di bawah Seksyen 20(2) Akta sama kerana sebagai sebuah syarikat perniagaan pengendalian pelancongan yang berlesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.
Pendakwaan telah dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi dan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zulaikha Mahadi.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini menegaskan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] adalah suatu kesalahan jenayah yang serius.
“MOTAC akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana orang yang melanggar Akta 482.
“MOTAC juga sedang melengkapkan siasatan bagi pendakwaan beberapa syarikat pengendali perniagaan pelancongan lain yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta 482,” katanya dalam kenyataan hari ini.