STB terus kerjasama, promosi Sabah sebagai destinasi pelancong Jepun

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi untuk memikat lebih ramai pelancong Jepun datang ke negeri ini dengan tarikan destinasinya yang menarik dan keindahan alam semulajadi.

Ini jelas semasa lawatan pertama Pengarah Urusan Biro Pelancongan Jepun (JBT) Malaysia, Kiyoshi Fujita, ke Sabah, di mana beliau telah memuji keindahan negeri ini.

Kiyoshi berkata, Sabah merupakan salah satu destinasi tumpuan di Malaysia dalam kalangan orang Jepun dan ramai yang telah melancong ke negeri ini sebelum pandemik Covid-19.

“Ini adalah lawatan pertama saya ke Sabah dan saya telah pun melawat beberapa tempat menarik yang pasti menjadi popular dengan orang Jepun.

“Saya agak kagum, dan saya pasti pelancong Jepun tidak sabar untuk kembali ke Sabah,” katanya.

Kelmarin, Kiyoshi mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai untuk berkongsi pandangannya mengenai potensi negeri ini untuk menarik pelancong Jepun. Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran STB, Tay Shu Lan.

Dalam perjumpaan tersebut, beliau turut menekankan kepentingan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam industri pelancongan, sambil menyatakan bahawa Kerajaan Jepun sangat tegas mengenai perkara itu.

JTB ditubuhkan pada tahun 1912 dan ia merupakan agensi pelancongan terbesar di Jepun. Ia juga adalah salah satu agensi pelancongan terbesar di dunia.

Kiyoshi dilantik sebagai Pengarah Urusan JTB untuk Malaysia sejak Februari 2021 dan beliau telah melawat Melaka, Langkawi dan Kuala Lumpur.

Beliau tiba di Kota Kinabalu pada 13 Nov untuk lawatan kerja selama empat hari, di mana beliau melawat Pasar Minggu, Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Taman Kinabalu, Kolam Air Panas Poring, Klias River Cruise, dan pusat peranginan resort, antara lain.

Sementara itu, Joniston percaya Sabah dan Jepun berkongsi idea yang sama tentang pelancongan mampan dan eko pelancongan.

Beliau berkata, pelancongan luar bandar boleh menjadi popular di kalangan pelancong Jepun, di mana mereka boleh melakukan aktiviti “shinrin-yoku” atau “mandi hutan” – konsep  yang digunakan di Jepun untuk menggalakkan orang ramai meluangkan masa menikmati alam dan udara segar.

“STB sentiasa bekerjasama dengan rakan kongsi kita di Jepun untuk terus mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan. Sudah tentu dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa tahun depan, kita tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan kembali pelancong dari negara Jepun,” katanya.