KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga individu dipercayai mengemukakan invois palsu bernilai lebih RM800,000 kepada pejabat sebuah kementerian pada tahun 2019.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek tersebut ditahan di Pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan.
“Ketiga-tiga mereka dipercayai telah mengemukakan invois palsu berkaitan tuntutan bayaran kos pengangkutan bagi projek untuk tempoh tiga bulan iaitu daripada September hingga November 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Katanya, ketiga-tiga suspek berkenaan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah dalam tempoh terdekat.