KOTA KINABALU: Shell menarik balik keputusan berhubung rancangannya sebelum ini untuk menutup operasi beberapa stesen minyaknya di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata keputusan syarikat minyak dan gas itu adalah susulan perbincangan dengan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan berita baik mengenai keputusan itu berdasarkan pengumuman pihak Shell.
“Sebelum ini kita mengemukakan isu ini untuk perhatian Kerajaan Persekutuan dan kita menghargai sensitiviti Kerajaan Persekutuan terhadap situasi di Sabah.
“Kita juga menghargai kerana Kerajaan Persekutuan memberi perhatian terhadap perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas pengumuman Shell Timur Sdn Bhd tidak meneruskan penutupan 34 stesen minyaknya di Sabah berkuat kuasa Januari tahun depan.
Sebelum ini, Hajiji mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman untuk membincangkan perkara itu.