Seramai 52 PATI ditahan Imigresen Labuan sejak Januari tahun ini

LABUAN: Seramai 52 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya ditahan menerusi  beberapa siri operasi penguatkuasaan dijalankan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Imigreesen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan, Raymond Entalai berkata, kesemua mereka ditahan adalah terdiri daripada 19 lelaki serta 33 wanita masing-masing melibatkan 50 warga Filipina manakala seorang warga Indonesia dan Pakistan.

Katanya, PATI ditahan atas pelbagai kesalahan merupakan hasil daripada pemeriksaan 883 individu termasuk melibatkan warganegara Malaysia serta warga asing.

“Operasi Penguatkuasaan yang  melibatkan pelbagai operasi termasuk Op Kutip, Op Dandan dan Op Gegas dijalankan sepanjang bermula Januari hingga April tahun ini.

“Jumlah keseluruhan berjaya adalah seramai 52 PATI merupakan warga Filipina selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Raymond berkata, sejak 1 April lalu, Jabatan Imigresen Labuan mendakwa seorang warganegara asing atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)( c) Akta Imigresen 1959/63 dan dijatuhi hukuman selama empat bulan daripada tarikh suspek di tangkap.

“Seramai 18 warga asing telah mengikuti Program Repatriasi Migran (PRM) yang terdiri 15 warga Filipina dan tiga warga Pakistan.

“Jabatan Imigesen komited melaksanakan operasi untuk menangani aktiviti pendatang tanpa izin khususnya di kawasan Labuan,” jelas Raymond.