KUNAK: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam jurang sedalam enam meter di Jalan Kunak–Tawau, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 pagi dan segera menghantar enam anggota bersama sebuah jentera FRT serta unit EMRS ke lokasi.
“Sebaik tiba pada jam 4.38 pagi, kami mendapati kenderaan berada di dasar cerun dengan empat mangsa terperangkap. Seorang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menambah, tiga lagi mangsa lelaki berusia antara 28 hingga 39 tahun mengalami kecederaan parah. Semua mangsa menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kunak dan Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 6.55 pagi selepas kawasan cerun disahkan selamat dan tiada risiko susulan.
