SANDAKAN : Keindahan lukisan Kolam di atas lantai berhampiran pintu masuk sebuah pasaraya besar di sini menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang.
Kelihatan seorang gadis tinggi lampai sedang khusyuk menabur serbuk pasir berwarna-warni pada lakaran lukisan yang bermotifkan bunga teratai dan burung merak.
Tidak hanya tertarik dengan lukisan Kolam yang berwarna-warni, orang ramai juga terpegun kerana pelukisnya bukan berbangsa India, sebaliknya seorang gadis ‘Ah Moi’.
Chin Pui Kuin atau lebih mesra dipanggil JC merupakan seorang pelukis tempatan yang mulai berkecimpung dalam bidang seni lukis sejak usianya 7 tahun lagi.
Melihat bidang seni adalah luas dan tidak mempunyai sempadan, gadis berusia 30 tahun itu teruja menyiapkan lukisan Kolam sempena Hari Deepavali yang disambut esok.
“Ini merupakan tahun ketiga saya melukis Kolam di pasaraya ini. Meskipun tiada pengetahuan langsung pasal seni budaya kaum India ini, tetapi saya menyahut cabaran diberikan dan menganggap ia sebagai tambahan pengalaman buat saya.
“Bagi saya, tiada masalah sekiranya kaum lain mahu mempelajari kaedah menghasilkan Kolam kerana usaha ini sebenarnya membantu memelihara tradisi kaum India sekaligus ia dapat diwariskan kepada generasi muda.
“Saya melihat situasi ini sama seperti tarian Singa yang merupakan tradisi masyarakat Cina tetapi kini banyak diceburi oleh kaum lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita patut menghargai dan meraikan kepelbagaian seni dan budaya yang ada di negara ini,” katanya.
Kolam adalah sebahagian daripada seni tradisi masyarakat India yang lazimnya dihasilkan semasa perayaan Hari Deepavali.
Perkataan Kolam dalam Bahasa Tamil bererti cantik atau indah.
Pada awalnya, JC mengakui tidak pernah tahu mengenai Kolam dan maksud tersirat di sebalik perhiasan lantai itu, namun disebabkan rasa cinta yang kuat dalam bidang seni, beliau menyahut cabaran untuk menghasilkannya.
“Saya banyak merujuk ‘Youtube’ untuk memahami apa sebenarnya Kolam dan bagaimana cara ia dihasilkan. Kenapa lukisan ini juga dipanggil Rangoli, kenapa lukisan ini dihasilkan di atas lantai dan kenapa perlu menggunakan beras atau pasir berwarna-warni.
“Ini antara persoalan yang bermain dalam fikiran ketika pertama kali mendapat tugas ini. Selepas saya kumpul maklumat, baru saya dapat fokus sepenuhnya untuk menyiapkan Kolam. Saya perlu tahu apa subjek yang saya hasilkan,” jelasnya.
JC mengambil masa beberapa minggu untuk persiapan sebelum mula menghasilkan Kolam termasuk menyediakan draf lakaran serta mencari bahan material bersesuaian yang perlu ditempah dari kedai alat tulis dan bahan seni lukis di Semenanjung Malaysia.
Katanya, material seni lukis yang terhad dan sukar ditemui di kedai alat tulis sekitar Sandakan bukan penghalang untuknya dalam memberikan karya seni yang terbaik.
Ketika ini, JC menjadi tenaga pengajar kelas seni sepenuh masa yang dijalankan secara persendirian di rumahnya di Taman Wemin, Sandakan. JC Art diusahakannya sejak lima tahun yang lalu.
Selain itu, beliau juga aktif menerima undangan berbayar untuk menghasilkan lukisan mural serta khidmat melukis muka dan badan (face and body painting).
Meskipun pada awalnya tidak mendapat sokongan daripada ibunya untuk menjadikan bidang seni sebagai kerjaya, namun kegigihannya membuahkan hasil apabila kini beliau mempunyai lebih 30 pelajar seni.
“Ibu saya melihat bidang seni seperti kurang menjamin masa depan yang baik. Tetapi, saya cintakan seni dan berusaha sehabis baik untuk terus maju dan berkembang dalam bidang ini.
“Saya berbangga mempunyai pelajar seni sendiri. Saya juga bangga melihat hasil lukisan mural saya ada menghiasi dinding di beberapa premis perniagaan dan pusat penjagaan kanak-kanak di Sandakan.
“Saya berharap akan dapat terus berkarya sampai bila-bila kerana saya memang cintakan bidang seni. Saya menyimpan hasrat mahu menyertai rakan pelukis lain untuk menghasilkan lebih banyak lukisan mural di seluruh Sabah,” jelasnya.