KOTA KINABALU: Semakan segera terhadap perjanjian serta kontrak membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak berprestasi sekali gus merugikan kerajaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata semua pegawai ditugaskan untuk memeterai perjanjian dan kontrak terbabit, agar mengambil kira kepentingan negeri.
“Kita tegaskan di sini agar mana-mana agensi kerajaan apabila buat perjanjian, pastikan (perjanjian) itu mengambil kira kepentingan negeri.
“Pegawai terbabit juga termasuk pegawai undang-undang kena tengok dan baca dengan telitii setiap isi kandungan perjanjian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah di sini hari ini.
Hajiji mengumumkan pencapaian ICSB, jentera pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah meningkatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM424 juta berbanding RM112 juta pada tahun 2020.
“Kenaikan ini adalah sebanyak RM312 juta atau empat kali ganda dari tahun sebelumnya. Ini sekali gus menjadikan kenaikan tertinggi yang dicatat ICSB dalam tempoh sembilan tahun,” katanya.
Sementara itu katanya, bagi pendapatan Kumpulan ICSB, kenaikan ketara daripada RM819 juta pada 2020 kepada RM1.2 bilion pada 2021. Peningkatan sebanyak 45 peratus atau RM369 juta adalah yang tertinggi dicatatkan oleh ICSB sejak 2013.
“Bagi Kumpulan Yayasan Sabah pula, lebihan (surplus) sebelum cukai pada 2021 ialah RM358.12 juta, berbanding lebihan pendapatan sebelum cukai 2020 sebanyak RM18.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM339.62 juta atau 1836 peratus,” katanya.