KOTA KINABALU : Masalah kemudahan infrastruktur asas membabitkan jalan raya di Parlimen Kinabatangan perlu diambil tindakan segera, bukannya dijadikan sebagai ‘senjata’ politik.
Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jalan utama meliputi kawasan di Bukit Garam, Sukau serta laluan dari Sandakan ke Lahad Datu kelihatan langsung tidak diberikan perhatian.
Katanya, sehingga ke hari ini, tiada sebarang usaha dilakukan untuk membaiki kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan di kawasan ini.
“Jalan raya utama di Kinabatangan kelihatan terlalu rosak, berlubang-lubang sekali gus dilihat boleh membahayakan nyawa pengguna yang melaluinya.
“Saya memohon agar Kerajaan Negeri agar melaksanakan segera kerja-kerja pembaikan jalan di kawasan bulatan Pekan Bukit Garam dan kawasan bulatan menuju simpang Sukau, tanpa sebarang diskriminasi politik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bung Moktar merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, beliau turut mempersoalkan sama ada keadaan ini berlaku disebabkan oleh perbezaan politik?
“Ini tidak sepatutnya berlaku. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada keselamatan serta kesejahteraan rakyat, bukan berdasarkan siapa wakil rakyat di kawasan itu.
“Rakyat berhak memperoleh kemudahan jalan raya yang baik dan selamat, tanpa mengira latar belakang politik di kawasan mereka,” jelas Bung Moktar.
Menurutnya, menyelenggara jalan raya adalah terletak kepada tanggungjawab kerajaan negeri melalui agensinya iaitu Jabatan kerja Raya (JKR) Negeri Sabah.
“Jalan raya yang rosak bukan hanya menyusahkan rakyat, malah boleh mencetuskan kemarahan kerana seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap keperluan asas mereka.
“Di kawasan lain, saya melihat ada usaha kerja-kerja untuk membaik pulih jalan berlubang sedang dijalankan termasuklah pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo,” kata Bung Moktar.
