KOTA BELUD: Kerajaan negeri yakin sektor koperasi di negeri itu mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa sekali gus berperanan sebagai satu daripada peneraju utama kemakmuran ekonomi negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah itu berkata aktiviti komersil sektor koperasi negeri berpotensi besar untuk diperluaskan ke peringkat antarabangsa dengan wujudnya model perniagaan pragmatik dan rantaian pembekalan kukuh serta strategi pembangunan industri tani yang relevan.
Sehubungan itu, Joachim mahu sektor koperasi di Sabah menggalakkan anggota-anggotanya meningkatkan keupayaan, kemahiran dan menjana model perniagaan pragmatik dalam usaha memasarkan produk mahupun perkhidmatan mereka ke pasaran global.
“Saya berharap gerakan koperasi di Sabah yang dipimpin oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dapat terus diperkasa seiring dengan agenda pelan pembangunan ekonomi Sabah Maju Jaya (SMJ) seterusnya menjadi tonggak penting dalam memakmurkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.
“Selaras Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 yang menggariskan matlamat dan langkah komprehensif bagi memastikan gerakan koperasi dapat memberi manfaat lebih besar kepada kesejahteraan anggota dan masyarakat, selain memastikan koperasi lebih berdaya saing, lestari serta mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan Hab E-Transformasi Kaki Kaki Kampung di Kampung Taginambur dekat sini, hari ini.
Hab E-Transformasi Kaki Kaki Kampung diwujudkan oleh SKM Sabah sebagai antara usaha untuk memantapkan program usahawan agro kendalian Koperasi Wawasan Rakyat Sabah Bhd, dalam membantu masyarakat luar bandar meningkatkan pendapatan dan menggalakkan mereka menjadi usahawan tani berjaya.
Joachim berkata Hab E-Transformasi Kaki Kaki Kampung menyediakan pelbagai kemudahan keselamatan pembekalan makanan luar bandar serta memudahkan urusan penjualan hasil tani, ternakan, produk kraftangan atau perusahaan kecilan dan sederhana.
“Matlamat penubuhan Hab E-Transformasi Kaki Kaki Kampung untuk menangani cabaran daripada segi logistik penjualan dan pemasaran. Saya yakin inisiatif ini dapat mewujudkan ekosistem lestari seterusnya menyokong agenda pembasmian kemiskinan, meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Ini sekali gus menyokong usaha kerajaan negeri dalam aspek pengukuhan rantaian perusahaan pembekalan. Model perniagaan mampan melalui kaedah persepaduan strategik dengan perusahaan pembekalan huluan dan hiliran mampu menarik penglibatan masyarakat dalam pasaran dan merangsang peluang pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin dalam ucapannya pula berharap sektor koperasi di negeri itu diletakkan secara khusus di bawah satu kementerian sesuai bagi memastikan hala tuju pembangunannya dapat diselaraskan dengan perancangan ekonomi dilakukan kerajaan Sabah.
“Jika suara hati gerakan koperasi di Sabah dapat pertimbangkan oleh kerajaan negeri, saya pasti ia akan memberi manfaat lebih besar, bukan sahaja kepada pembangunan koperasi dan usahawan melalui koperasi, tetapi juga pembangunan sosioekonomi Sabah secara keseluruhannya pada masa akan datang,” katanya.
Setakat 31 Disember tahun 2020, Sabah merekodkan sebanyak 1,616 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 303,122 orang, syer dan yuran bernilai RM213.0 juta; manakala nilai aset dimiliki gerakan koperasi pada tempoh sama ialah RM845.2 juta dan perolehan bagi tahun 2020 berjumlah RM354.6 juta.
— BERNAMA