TUARAN: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) disaran agar terus aktif dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajijj Noor berkata, selain terlibat dalam merancang serta menyelaras aktiviti pembangunan di Sabah mereka juga perlu aktif dalam aktiviti menjayakan CSR.
Katanya, usaha SEDIA melancarkan program CSR untuk mengenal pasti kawasan yang penduduk terjejas dalam pandemik COVID-19 sangat dialu-alukan.
“Usaha SEDIA ini dilihat selari dengan hasrat kerajaan negeri yang turut terlibat dalam mengagihkan bantuan bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik ini.
“Sumbangan SEDIA pada hari ini, sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada penduduk di beberapa kampung di daerah ini sangat bermanfaat kepada mereka,” katanya.
Hajiji berkata, penularan pandemik COVID-19 di negara ini termasuk di Sabah menyebabkan peningkatan kadar pengganguran, operasi perniagaan terjejas serta pergerakan rakyat juga tersekat.
“Kita berharap dengan pelaksanaan program CSR ini dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama antara masyarakat di kawasan yang terlibat, Kerajaan Negeri dan SEDIA pada masa akan datang,” katanya.