KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Undangan Negeri Sabah berikutan kegiatan perlombongan emas di Bukit Mantri, Balung, Tawau.
Sarifuddin berkata ia susulan atas arahan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan pendedahannya aktiviti perlombongan emas masih beroperasi tanpa kelulusan tanpa mendapat kelulusan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Katanya, bagaimanapun butiran laporan tersebut tidak dapat didedahkan kepada umum memandangkan kes ini sedang dalam siasatan SPRM.
“Saya nyatakan perkembangan terbaharu di sini, laporan SPRM sudah dibuat….Kita serahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan sekiranya wujud salah guna kuasa dalam kegiatan aktiviti perlombongan emas di Bukit Mantri, Balung, Tawau.
“Pada persidangan DUN lalu, saya telah membawa isu ini… Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya menyarankan laporan SPRM dapat dibuat bagi membolehkan siasatan secara terperinci dapat dilakukan oleh pihak berkuasa terbabit,” katanya kepada Sabah News Today di sini, hari ini.
Sarifuddin berkata, isu ini sangat diperkatakan orang ramai pada ketika ini berikutan ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terutama dari aspek kestabilan tanah sekali gus mengancam keselamatan kawasan serta pencemaran alam sekitar.
“Mungkin juga boleh ditimbulkan persoalan di sini kerajaan Negeri hanya membenarkan aktiviti perlombongan dijalankan tidak perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU).
“Dalam masa sama tidak perlu mendapat kebenaran daripada Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme – OMS) tanpa memenuhi keperluan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
“Disebabkan kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) membenarkan Wullersdorf menjalankan aktiviti perlombongan tanpa menjalankan kajian impak alam sekitar.
“Saya syorkan agar ada kenyataan rasmi daripada Kerajan Negeri membuat pengumuman agar syarikat melombong lain tidak menjalankan kajian impak alam sekitar seterusnya segera menamatkan perkhidmatan JMG serta Jabatan Perlindungan Alam sekitar kerana peranan jabatan ini tidak diendahkan oleh mereka,” jelas Sarifuddin.
Sarifuddin menambah, secara peribadi beliau bersetuju dengan cadangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu lebih banyak tanggungjawab diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, termasuk pemantauan secara terus terhadap SPRM adalah langkah terbaik agar perlu melapor secara terus kepada Istana Negara berbanding Parlimen untuk membanteras rasuah.