Sambutan unik Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos ini

TUARAN: Kerajaan negeri memutuskan untuk menyambut Hari Sabah, selain Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini bagi menghargai nikmati kemerdekaan dikecapi di negeri dan negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata atas sebab itu pada tahun ini selain menyambut Hari Kebangsaan juga akan menyambut Hari Sabah yang menandakan hari kemerdekaan negeri ini daripada penjajahan British yang akan disambut buat julung kalinya pada 31 Ogos ini.

Rakyat berbilang kaum di negeri ini perlu terus mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan perpaduan yang sedia terjalin hasil daripada kemerdekaan ini, katanya ketika merasmikan Karnival Sukan Lions Tuaran Merdeka Run & Cycling 2023 di Padang Pekan Tuaran, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata dalam suasana menyambut Hari Kemerdekaan, perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat pelbagai suku kaum dan kepercayaan agama perlu terus ditingkatkan.

“Ini penting bagi memastikan Sabah terus mengecapi kemajuan dan pembangunan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata semangat bersatu padu, setiakawan dan hormat menghormati mampu mewujudkan suasana yang harmoni dan sejahtera.