KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) meraikan pelajar-pelajar Tahfiz Sulaimaniyyah Aminuddin Papar dalam majlis berbuka puasa di Dewan BTC, kelmarin.
Kira-kira 20 pelajar terbabit diketuai pengetua mereka, Mustapha hadir pada majlis berkenaan.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengerusi Jetama Sdn. Bhd., Datuk Juhari Janan.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, berkata, selaku badan bola sepak negeri, SAFA turut tidak melupai tanggungjawab sosial dan kebajikan di bulan yang mulia ini.
Katanya, justeru SAFA mengadakan majlis berbuka puasa ini bersama pelajar-pelajar tahfiz.
Beliau yang juga Pengarah Akademi bola sepak SAFA mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Jetama Sdn Bhd yang memberi sumbangan untuk membantu program pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Mudah-mudahan dengan sokongan dan kerjasama syarikat berkenaan dan penaja-penaja yang lain, program pembangunan SAFA dapat dilaksanakan dengan jayanya,” tambahnya.
Sementara itu, Juhari berharap Jetama akan terus membantu program pembangunan SAFA melalui khdimat sosialnya sebagaimana yang mereka lakukan terhadap badan-badan sukarela dan kebajikan yang memerlukan bantuan.
“Setakat ini, syarikat telah memberi sumbangan kepada SAFA dan kita akan terus memberi sokongan bagi pelaksanaan program yang telah dirancang,” ujarnya.
Pada majlis itu, Juhari kemudian menyampaikan sumbangan SAFA berupa duit raya, sejadah, kuih dan kurma kepada kira-kira 20 pelajar tahfiz berkenaan.
Turut hadir Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Pengarah Teknikal, Omar Maya Amat dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim.