KENINGAU: Pejabat Mufti Negeri Sabah mewartakan 16 kumpulan serta fahaman di Sabah sebagai ajaran sesat.
Antara ajaran sesat berkenaan termasuklah ajaran Ilmu Makrifat, Hizbut Tahrir, Islam Jama’ah, Black Metal dan Syiah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pejabat mufti turut menyenaraikan empat buah buku iaitu buku Islam Hadhari Menurut Pandangan Ustaz Haji Ashaari Muhammad, buku Membela Sunnah Nabawiyyah hasil tulisan Abd Wahab Bustami, buku Awaluddin Makrifatullah yang ditulis Haji Muhammad Seman Al-Banjari dan buku-buku Mohd Hairi Nonchi.
“Selain itu, kita juga sedang memantau ajaran sesat Millah Abraham @ Ibrahim.
“Pemantauan penguatkuasaan turut melibatkan Polis Di Raja Malaysia (PDRM),” katanya ketika ditemui media selepas Merasmikan Minggu Perpustakaan Peringkat Negeri di Perpustakaan Keningau, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Arifin memaklumkan terdapat pengikut ajaran Millah Abraham yang didakwa di Sabah tahun lalu.
“Bagaimanapun, semua yang didakwa bukan berasal dari Sabah.
“Mereka telah dijatuhkan hukuman dan sebab itulah daripada semasa ke semasa kita sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan gerakan ini tidak berkembang di Sabah,” katanya.
Terdahulu, seramai 14 pengikut ajaran sesat Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat, Johor pada Selasa minggu lalu.
Kesemua individu berkenaan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memiliki bahan penerbitan agama bertentang hukum syarak dan mengingkari pihak berkuasa agama.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ke atas kesemua 11 tertuduh lelaki dan tiga tertuduh perempuan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd Syahir Sahab.