Sabah tidak pernah iktiraf tuntutan kesultanan Sulu

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan waris kesultanan Sulu, tegas Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Ini kerana Hajiji berkata Sabah adalah sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

“Ia adalah satu dakwaan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh dipersoalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wisma Putra dan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama berkata, bahawa Malaysia menolak perintah mahkamah timbang tara Perancis untuk membayar kira-kira RM63 bilion kepada waris kesultanan Sulu.

Pada 28 Februari lalu, penimbang tara, Gonzalo Stampa, memutuskan bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir Sabah.

“Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan kerana Malaysia sentiasa mempertahankan dan tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara yang berdaulat,” kata Hajiji.

Sehubungan itu, Hajiji menggesa orang ramai supaya bertenang dan menyerahkan kepada pihak perundangan kerajaan negeri dan Persekutuan mengendalikan perkara itu.