PUTATAN: Kerajaan negeri dan seluruh rakyat sama sekali tidak mengiktiraf sebarang tuntutan oleh pihak yang mengaku waris kumpulan Sulu ke atas negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata rakyat Sabah sendiri telah sekian lama memilih untuk bersama membentuk sebuah Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), justeru sebarang tuntutan pihak luar terhadap Negeri di Bawah Bayu itu tidak akan diktiraf sama sekali oleh rakyat negeri itu.
Katanya, Kerajaan Sabah yakin Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan serius dan langkah yang konkrit bagi menyelesaikan apa sahaja isu tuntutan ke atas Sabah termasuk tuntutan yang dibuat oleh kumpulan tersebut.
“Memang kita yakin (dengan Kerajaan Persekutuan) kerana kita sendiri tidak pernah mengiktiraf tuntutan (kumpulan mendakwa waris) Sultan Sulu ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada ibu tunggal dan penduduk kurang bernasib baik di sini hari ini.
Kumpulan yang mendakwa waris Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.