Sabah rekod kluster baharu tempat kerja di Keningau

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kluster baharu COVID-19 hari ini iaitu Kluster Kayu Patikang, yang merupakan penularan jangkitan di tempat kerja di sebuah kilang pemprosesan kayu balak di Keningau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kes indeks bagi kluster itu ialah seorang kanak-kanak perempuan bukan warganegara berumur empat tahun yang dikesan melalui saringan bergejala di Hospital Keningau.

“Saringan kontak di lapangan mendapati 16 lagi kes dengan keputusan positif RTK-Antigen semalam (10 Julai). Pada tarikh yang sama, dua lagi kes positif RTK-Antigen dilaporkan oleh Pusat Kuarantin Sementara, IPG (Institut Pendidikan Guru) Keningau melalui saringan seumpamanya.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata, secara keseluruhan negeri itu mencatatkan 271 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 72,313 kes, manakala seramai 245 orang sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh sebanyak 69,351 orang setakat ini.