KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah perlu membuat penelitian dan seterusnya mempertimbangkan perlaksanaan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) menerusi pengangkutan udara melalui Singapura.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, sudah tiba masanya Sabah mengikut langkah beberapa negeri seperti Pulau Pinang yang bakal memulakan inisiatif VTL bermula 16 mac ini.
“Ia bagi memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua negara khususnya sektor pelancongan yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.
“Kementerian kini hanya menunggu kebenaran daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yakin kementerian dan semua pengusaha industri pelancongan di Sabah sudah bersedia untuk menerima pelancong luar diikuti dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat bagi mengelak penularan varian Omicron di negeri ini.