KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong dari Negara Perancis pada suku pertama tahun ini sebanyak 26.8 peratus kepada 2,116 orang tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini berbanding seramai 1,669 orang pelawat untuk tempoh yang sama pada tahun lalu sekali gus ini menunjukkan kadar peningkatan jumpah tertinggi mereka berkunjung ke Sabah.

Katanya, beliau yakin promosi yang berterusan secara lebih proaktif serta agresif sudah pasti akan membantu dalam peningkatan kehadiran pelawat Perancis ke Sabah.
“Kita gembira mendengar apabila Sabah terus menjadi destinasi penting bagi pelawat Perancis, ia secara tidak langsung menjadikannya yang ketiga bagi ketibaan pelawat Eropah ke Sabah, selepas United Kingdom dan Jerman.
“Hari ini kita berpeluang berbincang mengenai pelbagai peluang kerjasama strategik antara Sabah dan Perancis, termasuk dalam bidang pelancongan yang akan membawa manfaat bersama kepada rakyat negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Hajiji berkata, pihaknya memberi jaminan tahap keselamatan di pantai timur Sabah berada pada tahap tertinggi tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku selama beberapa tahun ini.