KOTA KINABALU: Kerajaan menghargai komitmen memastikan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasinal (TVET) mencukupi sekali gus bersesuaian pada keperluan negara di masa depan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, berkata kewujudan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu dan Sandakan, merupakan langkah tepat untuk melahirkan tenaga mahir dalam pelbagai bidang kelak.
Katanya, Skop TVET perlu berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kemahiran (NOSS) diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor serta pendedahan kepada latihan di peringkat industri.
“TVET bukanlah satu perkara yang asing di Malaysia. Cuma TVET sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik.
“Sebenarnya, stigma itu sudah lapuk ditelan zaman kerana kini graduan program TVET kian mendapat perhatian dalam kalangan majikan di negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen ILJTM kali ke-25, di sini hari ini.
Dr Joachim berkata, pelatih ILJTM khususnya di Sabah beruntung apabila dapat menikmati pelbagai kemudahan ditawarkan sepanjang tempoh pengajian secara percuma.
“Kerajaan negeri memandang tinggi komitmen KSM menawarkan pelbagai inisiatif memastikan nasib tenaga kerja dan pemain industri terus mendapat sewajarnya.
“Sumbangan ini selaras dengan usaha murni sekali gus menyumbang kepada kejayaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Beliau mengingatkan belia supaya merebut peluang bagi membolehkan mereka dapat memperbaiki taraf hidup serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Di majlis itu, seramai 546 graduan menerima diploma dan sijil dalam bidang pada majlis Konvokesyen kali ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Mat Setia Mohd Raji dan Pengarah ILPKK, Sudirman Hammade.