KOTA KINABALU : Ahli Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP), John Stephen Dionysius memuji ketegasan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menyatakan bahawa GRS akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Beliau menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), yang hanya merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, mengeluarkan kenyataan bersama atas nama Urusetia Perpaduan (Perpaduan Secretariat).
“Ini sebagai tindakan angkuh dan menghina Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi GRS serta parti-parti tempatan Sabah yang juga komponen Kerajaan Perpaduan Persekutuan.
“Kestabilan politik Sabah tidak seharusnya mengikut formula perkongsian kerusi dengan parti dari Malaya (kini menggunakan gelaran “parti nasional”) di peringkat persekutuan,” kata John.
Menurutnya, hubungan baik dengan Persekutuan bukanlah bermaksud Sabah perlu mengikut telunjuk, apatah lagi membiarkan parti nasional menjadi peneraju dan parti tempatan sekadar menjadi penumpang.
“Formula politik persekutuan telah ditolak oleh Sarawak di peringkat negeri dan terbukti berjaya membina pentadbiran sendiri dengan lebih berkesan,” jelasnya.