KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 51 kes baharu Covid-19 hari ini, naik tiga kes berbanding kelmarin (48).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata, secara keseluruhan kedudukan kekal stabil dengan perubahan turun naik kes harian pada tahap yang kecil serta terkawal.
Katanya, sebanyak 11 daerah mencatatkan peningkatan kes harian, sembilan daerah mencatatkan penurunan dan tujuh daerah kekal sebagaimana catatan kelmarin.
“Sebelas daerah tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu,” katanya.
Masidi yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah berkata, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah kes harian yang lebih rendah daripada semalam dengan 13 kes (-8) tetapi kekal satu-satunya daerah yang mencatat jangkitan baharu dua angka.
Sebanyak 15 daerah mencatatkan kes satu angka dimana sembilan daripada daerah-daerah tersebut merekodkan antara satu atau dua kes baharu sahaja.
Seramai 49 orang daripada 51 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, tidak ada pesakit dalam Kategori 3 dan masing-masing seorang pesakit dalam Kategori 4 dan Kategori 5.