Sabah catat penurunan kes COVID-19- Masidi

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan jangkitan baharu COVID-19  pengurangan sebanyak 353 kes kepada 1,778 kes semalam berbanding 2,131 kes yang dilaporkan kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu adalah yang pertama di bawah 2,000 kes selepas kenaikan mendadak jangkitan hingga pernah mencecah lebih 5,000 kes bermula bulan lalu.

“Kes hari ini (semalam) mencatat penurunan agak banyak menjadikan kes baharu di Sabah berada di bawah 2,000 berbanding hampir setiap hari melebihi angka itu sejak bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Kota Kinabalu masih menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah dengan sebanyak 511 kes semalam, turun 166 kes berbanding 677 kes kelmarin.