Sabah berdepan kesan besar akibat kenaikan harga beras import

KOTA KINABALU: Harga beras naik? Itu soalan bonus yang menjadi buah mulut rata-rata penduduk Sabah ketika ini selepas Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) mengumumkan kenaikan harga beras import berkuatkuasa semalam.

Kenapa naik? Sebab negara pengeskport beras seperti India dan Vietnam menghentikan atau mengurangkan eksport beras mengakibatkan negara yang banyak mengimport beras termasuk Malaysia berdepan kekurangan bekalan.

Kesannya, harga makanan ruji yang diimport itu terpaksa dinaikkan sejajar konsep penawaran dan permintaan dalam rantaian kepenggunaan yang akhirnya membawa banyak kesan sampingan lain kepada pengguna.

Adakah Sabah sangat terkesan dengan situasi itu? Jawapannya ya, kerana Sabah bergantung besar kepada bekalan beras import berikutan tahap sara diri pengeluaran padi dan beras tempatan negeri ini hanya mencapai kira-kira 25 peratus ketika ini.

Maknanya, rakyat Sabah bakal berdepan kesan yang besar akibat kenaikan harga beras import. Meskipun kerajaan menjamin harga beras tempatan kekal seperti sebelum ini, hakikatnya bekalan beras tempatan di Sabah sangat tidak mencukupi.

Di mana-mana kedai, pasar raya atau pasar yang menjual beras, kebanyakannya adalah beras import sama ada beras Vietnam atau beras Siam (Thailand), bermakna amat sukar untuk mendapatkan bekalan beras tempatan di negeri ini.

Mungkin hanya di Kota Belud orang ramai boleh membeli beras tempatan memandangkan hanya daerah itu jelapang padi masih aktif.

Kebimbangan mengenai situasi ini sudah disuarakan pelbagai pihak lebih awal khususnya pemimpin pembangkang yang mahu kerajaan mengambil langkah berkesan memastikan tahap sara diri pengeluaran padi tempatan ditingkatkan segera.

Di pihak kerajaan, kebanyakan jawapan yang diberikan mengenai isu itu berkisar mengenai usaha menambah baik infrastruktur sawah padi khususnya sistem pengairan sebagai langkah utama untuk penanaman padi secara komersial atau besar-besaran.

Namun, jawapan itu sudah didengar sejak bertahun-tahun lalu, malah berpuluh tahun, seolah-olah tiada perubahan terhadap sistem pengairan sawah, malah apa yang ada sudah semakin usang, selain ada yang tidak lagi berfungsi.

Usaha mengenai menaikkan tahap sara diri pengeluaran padi juga sudah lama digariskan, antara sasaran sebelum ini adalah untuk mencapai 30 peratus, namun sehingga kini gagal dicapai, malah mungkin menurun berbanding tahap sara diri pada era 1980-an atau 1990-an dulu berikutan semakin banyak sawah padi ditimbus untuk pembinaan bangunan.

Paling terkesan ialah penduduk berpendapatan rendah, sama ada di bandar atau luar bandar kerana dengan peningkatan harga beras import ketika ini, ia bermakna kuasa beli penduduk berpendapatan rendah semakin menurun.

Selepas ini, mahu atau tidak, pengguna juga terpaksa berdepan kenaikan harga makanan di restoran atau kedai makan. Kalau sebelum ini harga sepinggan nasi hanya RM1 atau RM2, tidak mustahil ada peniaga menaikkannya hingga RM3 atau RM4, malah hingga RM5 sepinggan.

Bagaimanapun, tidak dinafikan kenaikan harga beras import mungkin sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada penduduk, khususnya pemilik sawah padi terbiar untuk mengusahakan semula tanah masing-masing.

Selain untuk kegunaan sendiri, hasilnya nanti juga boleh dijual, sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada rakyat, selain dapat membantu meningkatkan pengeluaran padi tempatan.

Di daerah yang masih mengamalkan penanaman padi secara tradisi seperti di Kota Marudu, Tambunan, Ranau, Keningau, Kuala Penyu, Tenom dan Sipitang, penduduk yang mengusahakannya sedikit beruntung kerana ada sumber makanan ruji sendiri walaupun hanya diusahakan sekali setahun.