TAWAU: Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah Raya, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, terdapat dua mangsa mengalami trauma dihantar ke hospital.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Julius John Stephan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.19 malam.
Sepasukan anggota dan pegawai dari BBP Tawau bersama jentera dan unit EMRS dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 7 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 30×50 kaki persegi yang terbakar keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media.
Katanya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki empat pancutan dengan sumber air dari pili bomba berhampiran.
Menurutnya, terdapat dua orang mangsa mengalami trauma dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.
Operasi pemadaman terkawal pada jam 8.26 malam dan tamat sepenuhnya selepas memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sekitar kejadian.