TAWAU : Pertubuhan Seni Silat Gayung Panji Alam dicadangkan untuk menjalin kerjasama dengan pihak pengurusan masjid untuk memanfaatkan ruang persekitaran sedia ada bagi menjalankan aktiviti mereka.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Balar Titingan berkata, ini secara tidak langsung ia berupaya menarik minat golongan muda untuk menyertai aktiviti ini pada masa depan.

Katanya, terdapat ruang perkarangan masjid boleh digunakan dalam aktiviti ini sebagai platform untuk menarik anak muda agar mendekati agama.
“Aktiviti ini bukan sahaja membentuk disiplin serta tanggungjawab dalam kalangan ahlinya tetapi juga ruang untuk mendekatkan individu kepada Allah SWT.
“Saya berbangga kerana Pertubuhan Seni Silat Gayung Panji Alam dipimpin Abdul Razak Hasan, mencatat pencapaian yang sangat membanggakan apabila berjaya menarik minat 4,000 ahli dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Majlis Apresiasi Anugerah Kecemerlangan dan Makan Malam Persatuan Seni Silat Gayung Panji Alam Malaysia di Dewan Sri Tawau, di sini semalam.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, pertubuhan ini mula membuka cawangan di beberapa daerah termasuk Tawau, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu.
“Selain itu mereka juga bercadang meluaskan keahlian ini ke Sipitang, Beaufort dan Tongod.
“Lebih membanggakan apabila pertububan Seni silat ini turut melebarkan sayap ke luar negara, termasuk Thailand dan Mesir,” jelas Nizam.
Menurutnya, beliau sentiasa menyokong usaha ini agar seni silat dapat terus berkembang pada masa depan khususnya di negeri ini.
“Kita yakin pertubuhan ini akan menjadi pemangkin perpaduan serta dapatmembentuk generasi muda yang berakhlak mulia,” katanya Nizam.
