KOTA KINABALU: Kedudukan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor boleh dipertikaikan apabila wujud pelanggaran dalam perkara 6(7) dan 6(3) sejajar dalam peruntukkan Perlembagaan Negeri Sabah.
Pengamal Undang-Undang Negeri Sabah, Rowiena Rasid berkata, berdasarkan Artikel 6 (3) Perlembagaan Negeri Sabah Yang Dipertua Negeri Sabah haruslah melantik Ketua Menteri terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN).
Katanya, Artikel 6(3) tertakluk kepada Artikel 6 (7) iaitu Ketua Menteri yang mendapat sokongan majoriti mestilah daripada Ketua Parti politik yang menang sekali gus mendapat sokongan majoriti dikalangan ahli dewan.
“Berdasarkan Artikal 6(7) adakah Datuk Seri Hajiji Noor adalah ketua parti yang menang?. Adakah Hajiji Noor merupakan atau masih ketua Parti berdasarkan gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kita sedia maklum, GRS adalah satu gabungan parti yang terdiri daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Isu yang timbul adakah Hajiji Noor masih ketua Parti GRS selepas beliau keluar dari BERSATU,” katanya kepada SabahNewsToday, hari ini.
Rowiena berkata, secara terang Hajiji Noor tidak lagi mempunyai parti politik apabila beliau keluar dari Bersatu dan boleh diumumkan sebagai ‘Ahli Bebas’ sekali gus hanya bernaung di bawah GRS.
“Maka mengikut peruntukan Artikel 6(7) Hajiji Noor tidak boleh menjadi Ketua Menteri kerana beliau gagal memenuhi peruntukan artikel 6(7) iaitu sebagai Ketua Parti yang mendapat sokongan majoriti ahli DUN.
“Disebabkan Adun BN dan KDM dan ADUN Warisan tidak menyokongn Hajiji maka, tiada satu parti yang mendapat majoriti mudah untuk memerintah, maka situasi ini sama seperti yang berlaku pada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, kemelut politik ini boleh disifatkan wujudnya keadaan ADUN tergantung dan sekiranya hal ini berlaku ‘Kerajaan Gabungan atau Perpaduan’ perlu diwujudkan untuk menjamin kestabilan di negeri ini.
Rowiena berkata, langkah ini dilihat sebagai satu jalan penyelesaian dimana semua parti perlu bergabung dalam kabinet negeri seperti yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan dan seperti yang disarankan oleh PM Anwar Ibrahim.
“Namun begitu, Hajiji Noor gagal melestarikan hal ini kerana dalam kabinet beliau hanya diisi oleh ADUN BEBAS, Barisan Nasional (BN),Pakatan Harapan (PH), PBS sahaja dan tiada Adun dari Warisan atau KDM.
“Ternyata pembentukkan kabinet ini melanggar konsep kerajaan perpaduan yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekiranya kita mengikuti kepada Artikal 6 (7) orang yang paling layak menjadi Ketua Menteri adalah Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, oleh sebab kita harus merujuk kepada kerajaan Persekutuan dimana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan Persekutuan kerana beliau adalah ketua Parti yang paling banyak menang kerusi parlimen,” katanya.
Menurutnya, situasi ini dapat diselesaikan untuk menjamin kestabilan Politik dimana Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin boleh memanggil semua Ketua Parti seperti yang dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong baru-baru ini.