Robert Tawik zahir sokongan penuh kepada Hajiji, seru rakyat Bingkor kekal bersama GRS

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Robert Tawik, menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang disifatkannya sebagai pemimpin berwawasan dan berjiwa rakyat.

Robert berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, semalam.

“Tujuan saya tidak lain adalah untuk menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Hajiji yang sentiasa berusaha membawa kestabilan dan kemajuan untuk Sabah,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor supaya terus bersatu dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17.

“Saya menyeru semua rakyat, khususnya di DUN Bingkor, supaya terus bersama dan menyokong calon GRS yang akan diumumkan esok,” katanya sambil menegaskan bahawa kestabilan politik hanya dapat dicapai melalui perpaduan rakyat di bawah gabungan kukuh yang berpaksikan kepentingan negeri.

Robert turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Bingkor atas sokongan berterusan mereka serta menegaskan komitmennya meneruskan agenda pembangunan luar bandar dan kebajikan rakyat.

“Terima kasih kepada semua rakyat Bingkor. Bersama kita pastikan suara kita terus kuat dan perjuangan untuk Sabah terus maju ke hadapan,” katanya.