SEMPORNA : Pelbagai produk kosmetik membabitkan rampasan bernilai RM21,375 melalui Op Taring Gelora di laut Tanjung Menimpah, dijalankan sekitar Pulau Bum-Bum, di sini semalam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Nazri Ibrahim berkata, rampasan itu dilakukan PPM Semporna Wilayah Empat Sabah berjaya menahan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemui beberapa kotak besar yang berisi pelbagai barang kosmetik yang disyaki seludup dari negara jiran.
“Kita menganggarkan jumlah nilai keseluruhan rampasan adalah sekitar RM21,375,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Nazri berkata, kesemua barang kes dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” jelas Nazri.