RM18.2 juta disalur kepada pembinaan semula kebakaran di Tawau dan Semporna

TAWAU: Sejumlah RM18.2 juta disalurkan bagi pembinaan semula rumah serta infrastruktur dalam kebakaran pada 17 Mac di sini dan pada 2015 di Semporna.

Lebih 1,000 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas dalam kebakaran di kedua-dua lokasi berkenaan akan mendapat manfaat daripada peruntukan ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan wang ehsan kepada penerima. Gambar oleh: JKM

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata daripada RM18.2 juta peruntukan itu, sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan kepada 608 KIR rakyat tempatan di Tawau untuk membina semula rumah mereka.

Manakala sejumlah RM8.2 juta adalah untuk pelaksanaan segera projek membabitkan kerosakan harta benda dan infrastruktur di Kampung Bangau- Bangau di Semporna.

“Kerajaan negeri sangat prihatin dengan nasib mereka yang dalam kesusahan dan sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya yakin bantuan ini dapat melegakan mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan sempena penyampaian sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 200 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas di sini baru-baru ini.

Baki 408 KIR akan menerima bantuan mereka kemudian. Setiap KIR akan menerima RM500.

Kebakaran di Kampung Kurnia Jaya menjejaskan seramai 608 keluarga tempatan yang terdiri daripada 3,012 orang. Kebakaran itu memusnahkan 591 rumah.

Sebanyak 300 rumah musnah dalam kebakaran di Semporna yang menjejaskan 3,000 orang.

Sementara itu, Ketua Menteri turut mengumumkan pembayaran bonus RM500 kepada penjawat awam dalam kategori Gred N54 dan ke bawah sempena sambutan Hari Raya dan Pesta Menuai tahun ini.

Pesara akan menerima separuh daripada jumlah berkenaan.