PETALING JAYA: Datuk kepada remaja lelaki yang dimandikan sebagai jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah di Kuang mendedahkan beliau yang menyarankan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid itu supaya membuat laporan polis.
Rosli Sidek, 65, berkata, beliau mahu memberi pengajaran kepada cucunya, Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, supaya menjadi orang berguna pada masa depan.
Semalam, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel selepas dia mengaku bersalah mencuri tabung masjid di Rawang itu pada 8 Jan lalu.
“Daniel Iskandar merupakan remaja yang bermasalah dan saya tidak sanggup menjaganya kerana tindakan yang tidak boleh dikawal lagi dan agresif.
“Kemungkinan besar dan dikhuatiri dia ada ambil benda terlarang dan baru terjebak jadi penagih kerana sering melakukan tindakan luar dugaan,” katanya menurut laporan MalaysiaGazette.
Rosli berkata, jika cucunya itu dapat dibebaskan, beliau mahu ada pihak dapat menghantarnya ke rumah perlindungan atau pusat kemahiran.
Katanya, negara ini mempunyai undang-undang dan berharap tindakan itu dapat mengubah sikap Daniel.
Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid.
Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi beberapa penduduk kampung berkenaan.
Kalangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan.
Bagaimanapun, ada warganet berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.