KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik 2024 dibentang pada hari ini untuk membolehkan kuasa kawal selia bekalan elektrik tersebut dapat diambil alih sewajarnya dan seterusnya dapat dikuatkuasakan pada tarikh penyerahannya iaitu pada hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata Rang Undang-Undang ini akan ditadbir dan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Katanya Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas daratan pada 10 Januari 2023 di mana kuasa kawal selia ini diberikan kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah yang lebih dikenali sebagai ECoS.
“Peralihan kuasa kawal selia ini diteruskan lagi dengan pengambilalihan fungsi kuasa kawal selia bekalan elektrik daripada Kerajaan Persekutuan selaras dengan tuntutan di bawah Perjanjian MA63.
“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa kawal selia industri bekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah berkuat kuasa pada 3 Januari 2024 ( hari ini),” katanya pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri perbahasan Rang undang-Undang Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, di sini hari ini.
Hajiji berkata Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik 2024 ini mengandungi 14 Bahagian dan 112 Fasal.
Beliau berkata dengan adanya Rang Undang-Undang ini, ia akan memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal selia sektor pembekalan elektrik di Negeri Sabah agar segala aktiviti sektor pembekalan elektrik yang dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif dan efisien.