KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memutuskan rakyat Sabah warganegara Malaysia bertolak menunaikan umrah serta keluar negara sebelum 28 Disember 2021, sekembalinya ke Malaysia adalah dibenarkan meneruskan perjalanan masuk ke Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, mereka ini perlu menjalani kuarantin di Sabah sekali gus tertakluk kepada ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) yang disahkan negatif sebelum bertolak ke Sabah.
Katanya, kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan doktor berdaftar bagi menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara percuma kepada rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021.
“Kerajaan Negeri turut menyediakan tempat penginapan kepada rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021 yang disahkan positif dan perlu menjalani tempoh kuarantin di Kuala Lumpur.
“Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah dan akan diselaraskan bersama dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Kuala Lumpur.
“Bagi rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara selepas 28 Disember 2021, sekembalinya ke Malaysia akan diwajibkan menjalani kuarantin 7 atau 10 hari di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Hajiji berkata, kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya adalah ditanggung jemaah umrah atau agen pelancongan umrah masing-masing.
Kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya bagi rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang pulang kembali dari luar negara adalah atas tanggungan sendiri.
“Syarat-syarat kuarantin adalah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah dari masa ke semasa.
“Walau bagaimanapun, kemasukan individu ke negeri Sabah adalah tertakluk kepada syarat-syarat Pihak Berkuasa Negeri yang sedia ada,” katanya.