LAHAD DATU: Kerajaan negeri sentiasa menyalurkan bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi serta fahaman politik di negeri ini.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Lahad Datu, Abdul Hakim Gulam Hassan berkata, bantuan itu bagi memastikan semua rakyat yang terjejas dalam suasana pandemik COVID-19 terus mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Hari ini tumpuan bantuan makanan diagihkan kepada penghuni pangsapuri yang juga turut terjejas susulan pandemik COVID-19.
“Turut hadir hari ini iaitu Ketua Srikandi Mizma Appehdullah dan Ahli Jawatankuasa Bahagian turun padang mengagihkan sendiri bantuan itu kepada penduduk berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bakul makanan kepada 651 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pangsapuri Mutiara Kasih di sini semalam.
Abdul Hakim berkata, beliau menyeru agar semua penerima bantuan tersebut supaya terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri yang terajui Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Sokongan yang padu terhadap Ketua Menteri itu bagi membolehkan sistem politik negeri tidak bergolak dan saluran bantuan dapat dilakukan selalu tanpa ada masalah,” katanya.