KOTA KINABALU: Projek solar berskala besar yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan di Sabah menggambarkan komitmen kerajaan Pusat bagi merancakkan lagi pembangunan negeri itu.
Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar Pemuda PAS Sabah Asrul Samat berkata, inisiatif dilaksanakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu dapat memperluaskan tenaga boleh diperbaharui di Sabah.
Katanya bekalan elektrik merupakan salah satu fasiliti asas yang diperlukan bagi membangunkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Projek itu jelas menggambarkan kesungguhan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menjayakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya di sini.
Baru-baru ini Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan melancarkan projek tersebut.
Projek terbabit merupakan kerjasama syarikat Large Scale Solar (LSS) dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Selain itu turut diadakan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dengan pelabur dari negara luar bagi menghasilkan panel solar dengan memproseskan pasir silika.
Asrul juga berkata, pelaburan jangka panjang menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Dengan adanya projek tersebut diharap liputan bekalan elektrik di Sabah dapat diperluaskan terutamanya ke daerah-daerah yang masih belum mendapat bekalan elektrik yang baik,” ujarnya.