KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik keputusan bersejarah Kerajaan Persekutuan yang tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak pemberian khas 40 peratus kepada negeri itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Jemaah Menteri Persekutuan atas keputusan tersebut yang disifatkan sebagai langkah berani dan bersejarah dalam menghormati hak perlembagaan Sabah.
Menurutnya, keputusan itu membuktikan Perdana Menteri memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah serta menunjukkan komitmen tulen untuk menegakkan hak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya menegaskan bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.
“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hajiji menambah, keputusan itu adalah langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung, khususnya di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas.
“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Kini masanya untuk tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen bagi melaksanakan hak 40 peratus itu,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah dan memuktamadkan perjanjian berkenaan.
Hajiji turut menyeru rakyat Sabah agar terus memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dalam memastikan hak dan kepentingan negeri itu terus dipertahankan.
