Pusat Kemahiran Minyak dan Gas Diwujudkan di Sipitang – Matbali

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berpendapat sudah tiba masanya sebuah Pusat Kemahiran Minyak dan Gas diwujudkan di Sipitang.

Beliau berkata pewujudan pusat kemahiran itu penting memandangkan daerah Sipitang berpotensi besar untuk menjadi pengemudi industri minyak dan gas di negeri ini.

Sebagai contoh, katanya baru-baru ini, Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) telah menjalin kerjasama dengan Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. (ESTEEL) dalam projek pembuatan besi membabitkan nilai pelaburan hampir RM20 bilion.

Matbali berkata projek pembuatan besi itu bakal memberi impak yang signifikan kepada pembangunan ekonomi di daerah berkenaan, termasuk menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk belia.

“Ini bermakna lebih ramai tenaga kerja yang diperlukan bagi menjayakan projek berasaskan minyak dan gas itu.

“Oleh itu, saya berharap pihak yang berwajib dapat merealisasikan pewujudan Pusat Kemahiran tersebut,” katanya.

Katanya selain Terminal Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGT), daerah Sipitang turut menempatkan Kilang Sabah Ammonia Urea (SAMUR), sekaligus memerlukan ramai pekerja tempatan yang terlatih dalam pelbagai bidang perindustrian dan perkilangan termasuk bidang minyak dan gas.

Matbali juga yakin dengan adanya pusat kemahiran itu, ia mampu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja terlatih dari luar Sabah, sekali gus membantu melindungi kepentingan anak tempatan daripada tersisih arus perdana pembangunan industri minyak dan gas di negara ini.