Pulau Banggi Sesuai Sebagai Lokasi Pulau Bebas Cukai Digital Pertama Di Malaysia

KOTA KINABALU: Pulau Banggi sesuai untuk dicadangkan dibangunkan sebagai ‘Pulau Bebas Cukai Digital’ pertama di Malaysia.

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Prof. Madya Dr.

Geoffrey Harvey Tanakinjal

, berkata sekiranya cadangan ini dapat dipertimbangkan sudah tentu menjadi pemangkin ekonomi baru sekali gus mencetuskan peluang pekerjaan melalui sektor bakal dibangunkan kelak. 

Menurutnya, cadangan itu mengaitkan data menyatakan lapan dari sepuluh daerah termiskin di Malaysia berada di Sabah manakala lebih dari tiga daerah termiskin itu berada di utara Sabah.

“Suntikkan projek pembangunan Pulau Banggi sebagai Pulau Bebas Cukai Digital pertama akan mencetuskan satu anjakan ekonomi dimana peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan.

“Ini sudah tentu akan melalui sektor ekonomi baharu di Pulau tersebut serta kawasan berhampiran termasuk Kudat, Pitas, Kota Marudu dan sekitarnya.

“Bukti pengenalan industri baharu di Sabah telah dialami apabila 242 kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) memberi 7,963 peluang pekerjaan selain sektor industri minyak dan gas di SOGIP membentuk 20,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Menghapuskan Kemiskinan Melalui Pintu Gerbang Emas Asia Tenggara: Peluang Pekerjaan Bermula di Sabah Utara,’ di sini hari ini.

Idea kertas kerja ini telah tercetus semasa lawatan kerja Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.

Dr. Geoffrey berkata, antara industri boleh dibangunkan di Pulau Banggi adalah industri pelancongan, minyak dan gas, pelabuhan persinggahan sebelum ke Nusantara, serta kawalan perairan utara Sabah. 

“Dana pembangunan awal untuk projek ini pula dicadangkan melalui penggunaan bond hijau daripada China Construction Bank (CCB) dan untuk pembangunan pulau digital dengan menggunakan kepakaran Nuerogine Group Sdn Bhd.  

“Kita berharap agar cadangan ini tidak dianggap sebagai persaingan kepada pelabuhan  sedia ada di Sabah kerana di negeri-negeri lain mereka mempunyai lebih dari tiga kawasan zon perdagangan dan perindustrian bebas,” katanya.

Menurut Dr. Geoffrey cadangan ini mungkin akan menjadi pelengkap kepada ekonomi Sabah kelak selain  memaklumkan dari segi tenaga pakar untuk memikirkan sekali gus merealisasikan cadangan ini dalam tempoh terdekat.

“Sabah mempunyai sumber ini iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mempunyai 1,060  ahli akademik dan lebih 70 peratus dalam kalangan mereka mempunyai kelulusan PhD dalam pelbagai bidang,” katanya.