BELURAN: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempertahankan kerusi Parlimen Beluran di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ini sekali gus menjawab teka teki selepas Menteri Pertanian dan Industri itu digugurkan daripada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN.
Parlimen Beluran menyaksikan pertembungan lima penjuru dan calonnya ialah Benedict Asmat (BN-UMNO), Rowiena Rasid (Warisan), Hausing Samsudin @Sudin (Pejuang), Ronald (PN-Bersatu) dan Felix Joseph Saang (PH-UPKO).
Ketika ditemui media selepas penamaan calon di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Beluran hari ini, Ronald berkata beliau sekali lagi menawarkan diri bagi Parlimen Beluran untuk mengangkat agenda pembangunan supaya berterusan.
“Saya akan bertanding atas tiket PN, parti yang dianggotai oleh beberapa buah parti di peringkat nasional dan juga peringkat negeri. Ini merupakan satu platform yang terbaik bagi mengangkat aspirasi Beluran di peringkat nasional,” katanya.
“GRS merupakan komponen beberapa buah parti termasuk Bersatu dan saya juga merupakan anggota ahli parti Bersatu, di peringkat negeri GRS merupakan komponen dan GRS adalah merupakan parti gabungan yang dibentuk di bawah aspirasi PN.
“Jadi parti-parti PN adalah merupakan antara parti GRS dan Bersatu yang merupakan anggota kepada PN di peringkat nasional. Jadi itu kedudukan PN dan juga GRS,” jelasnya.
Beliau juga mmemaklumkan bahawa masih sebagai anggota GRS di peringkat nasional dan GRS sebahagian daripada PN.