KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kemungkinan diadakan lebih awal bukanlah bermakna diadakan pada musim banjir melanda di seluruh negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembangkang tersalah langkah menggunakan mitos serta naratif banjir seolah-olah suatu yang tidak dapat ditangani sekali gus cuba menakutkan pengundi.
Katanya, ini juga alasan sama digunakan pembangkang ketika negara dilanda pandemik COVID-19 namun ternyata gagal.
“Akhirnya akibat pembangkang menggunakan isu bencana pandemik sebagai kempen menolak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak misalnya, pembangkang sendiri tersungkur dihukum oleh pengundi mereka sendiri.
“Pembangkang bakal berdepan ulangan kekalahan ini. Dalam keasyikan pembangkang menggunakan mitos dan naratif banjir musim tengkujuh pembangkang terperangkap dengan mitos dan naratif mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan Facebook rasminya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sebagai contoh banjir besar berlaku di daerah Baling pada berlaku Julai lepas manakala di Batu Pahat dan Pontian berlaku pada bulan September.
“Itu pun kelibat pembangkang kelihatan tidak turun ke kawasan banjir di Pulai, Sri Gading dan parlimen Iskandar Puteri.
“Ini juga membuktikan banjir boleh berlaku tidak semestinya pada musim tengkujuh dan apabila banjir berlaku sikap sebenar kelibat Ahli Parlimen tidak dirasai oleh pengundi mereka sendiri,” katanya.
Menurutnya, inilah antara punya kelemahan pembangkang yang mereka cuba tutupi dengan mitos dan naratif ciptakan mereka sendiri.
“Pembangkang percaya semakin dilengahkan pilihan raya maka peratus kemerosotan mereka akan dapat dibaiki sekali gus beranggapan kononnya populariti mereka semakin naik mendadak,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, ketika ini tidak lagi kelihatan laungan oleh Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu hilang sekali gus menunjukkan tidak bersedia untuk PRU awal diadakan.