Program Peduli Rakyat menjadi nadi UMNO Labuan santuni rakyat

LABUAN: Program Peduli Rakyat UMNO Bahagian Labuan yang diilhamkan oleh Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd Rafi Ali Hasan menjadi nadi utama parti itu dalam mendekati dan menyelami hati naluri rakyat Labuan.

Mohd Rafi berkata, ia bukan sekadar melepaskan batuk ke tangga atau kerja separuh jalan, sebaliknya ia merupakan program yang dilakukan secara berterusan demi membantu rakyat daripada pelbagai sudut termasuk kebajikan dan kesejahteraan.

Mohd Rafi Mohd Alli Hassan

“Program Peduli Rakyat akan terus dilaksanakan bagi memberi khidmat kepada masyarakat setempat khususnya mereka yang dilanda kesusahan, golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan dapat dibantu.

“Saya bersyukur kerana ketiga – tiga sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO cukup memberikan kerjasama yang baik bagi membantu menjayakan program Peduli Rakyat Bahagian Labuan khususnya dalam penyampaian bantuan beras kepada bakal pesangan pengantin dan juga keluarga yang ditimpa musibah (meninggal dunia).

“Ia diselaraskan oleh Sekretariat Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat UMNO Labuan serta Sekretariat Keagamaan dan Khairat Kematian UMNO Labuan, ” katanya di sini, kelmarin.

Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan biarpun ada kalanya beliau tidak dapat bersama menyertai Program Peduli Rakyat setiap minggu, namun setiap gerak kerja yang diamanahkan kepada sayap dan sekretariat mencapai objektifnya dan menepati sasaran yang membanggakan.

“Hal ini sememangnya amat sebati dengan perjuangan UMNO, bersama dalam susah dan senang, melalui pelbagai cabaran dan berusaha untuk memastikan kesejahteraan dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Ini adalah inisiatif berterusan yang dilaksana bagi memastikan masyarakat Labuan sentiasa mendapat pembelaan dan tidak berdepan kesulitan,” katanya.

Pada minggu lalu, Program Peduli Rakyat telah dilaksanakan dengan penyerahan bantuan beras kepada bakal pasangan pengantin melibatkan enam cawangan UMNO di sini iaitu Durian Tunjung, Patau-Patau 1, Rancha-rancha Laut, Sungai Lada, Sungai Labu dan Layang-Layangan.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Labuan Saiful Pungot, Ketua Wanita UMNO Bahagian Niswati Tarji, Setiausaha UMNO Bahagian Suhaili Amir, Bendahari UMNO Bahagian Musa Basman dan Pengerusi Sekretariat Kebajikan Sabli Jinin.